Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) 2020

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion telah diumumkan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia.

Pakej Rangsangan – RM250 bilion

  • RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat.
  • RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).
  • RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.
  • RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Kementerian Kesihatan – RM500 juta

  • Peruntukan berjumlah RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Memerangi COVID-19 – RM1 bilion

  • Pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi COVID-19.
  • Mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

Insurans dan Takaful – RM8 juta

  • Dana khas oleh pihak industri insurans dan takaful untuk menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan oleh KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta.
  • Syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk 3 bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak ini.

Doktor, Jururawat & Kakitangan Perubatan – RM600 sebulan

  • Untuk doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak ini, kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak ini berakhir.

Tentera, Polis, Kastam, Imigresen, RELA – RM200 sebulan

  • Kerajaan memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.
  • Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir.
  • Dianggarkan seramai 169,000 kakitangan tambahan akan mendapat manfaat ini.

Kumpulan M40 – RM10 bilion

  • Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion
  • Buat pertama kalinya akan disalurkan juga kepada kumpulan M40. Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.

Bayaran RM1,600 – Golongan M40 ke bawah termasuk B40

  • RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah.
  • Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020.
  • Bayaran RM600 akan dibayar pada bulan Mei 2020.

Bayaran RM1,000 – Golongan M40 ke bawah termasuk B40

  • RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000.
  • Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020.
  • Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan Mei 2020.

Bayaran RM800 – Golongan M40 ke bawah termasuk B40

  • RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.
  • Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020
  • Bayaran RM300 akan dibayar pada bulan Mei 2020.

Bayaran RM500 – Golongan M40 ke bawah termasuk B40

  • RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000.
  • Bayaran RM250 akan dibayar pada bulan April 2020.
  • Bayaran RM250 akan dibayar pada bulan Mei 2020.

Bantuan Sara Hidup (BSH) – RM3.2 bilion

  • Baki pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada bulan Julai 2020

Pelajar Pengajian Tinggi – RM200 one-off (daripada jumlah RM270 juta)

  • Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.
  • Bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada bulan Mei 2020.

Golongan Mudah Terjejas – RM25 juta

  • Untuk golongan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya atau OKU, golongan gelandangan dan orang asal.
  • Kerajaan akan bekerjasama dengan NGO dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka dengan peruntukan sebanyak RM25 juta.

PTPTN – RM750 juta & RM149.2 juta

  • Sebelum ini, Kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN kepada semua peminjam selama 6 bulan melibatkan kutipan sebanyak RM750 juta.
  • Kini, Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh yang sama kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan anggaran kutipan sebanyak RM149.2 juta.
  • Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 174,500 orang peminjam.

Kuarantin/Jangkitan COVID-19 – RM50 sehari

  • mySalam menyediakan manfaat kepada golongan B40 yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan COVID-19.
  • Pesakit boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari.
  • Sebagai tambahan kepada inisiatif ini, Kerajaan memanjangkan manfaat ini kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI).

Skim Persaraan Swasta (PRS) – RM1,500

  • Pengeluaran dari Skim Persaraan Swasta atau PRS.
  • Jika memerlukan wang tunai daripada apa jua bentuk simpanan untuk digunakan bagi menampung perbelanjaan harian.
  • Kerajaan membenarkan pengeluaran pra-persaraan dari akaun B Skim Persaraan Swasta sehingga jumlah RM1,500 bagi setiap ahli tanpa sebarang penalti cukai dalam tempoh bulan April hingga Disember 2020.

Projek Perumahan Rakyat – RM3 juta

  • Untuk golongan B40 di kawasan bandar, terutamanya mereka yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat.
  • Kerajaan memanjangkan pengecualian pembayaran sewa bagi PPR daripada sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada 6 bulan dengan jumlah kos sebanyak RM3 juta ditanggung oleh kerajaan.
  • Pengecualian pembayaran sewa ini melibatkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

PPR Sewa Untuk Milik – RM5.7 juta

  • Bagi unit sewa untuk milik, penangguhan pembayaran bulanan diberikan selama enam bulan bagi pembayaran balik pembiayaan bermula bulan April hingga September 2020.
  • Penangguhan pembayaran ini melibatkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit rumah.

Perumahan Awam

  • Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memberi penangguhan pembayaran bulanan selama enam bulan bermula bulan April hingga September 2020.
  • Memanfaatkan lebih 40,000 penyewa.

Premis milik Kerajaan Persekutuan

  • Pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain.
  • Ini termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun Kerajaan Persekutuan.

Diskaun Bil Elektrik – RM500 juta

  • Diskaun 15% ke atas bil elektrik sektor pelancongan.
  • Diskaun 2% bagi sektor komersial, industri, pertanian dan isi rumah di Semenanjung Malaysia.
  • Mulai 1 April 2020

Diskaun Bil Elektrik – Tambahan RM530 juta

  • Diskaun berperingkat antara 15% hingga 50% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan.
  • Diskaun 50% akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt.
  • Diskaun 25% bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt.
  • Diskaun 15% bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt.
  • Diskaun 2% seperti dimaklumkan sebelum ini akan terus dinikmati oleh semua pengguna isi rumah.
  • Diskaun ini akan berkuatkuasa bagi tempoh enam bulan mulai bil bulan April 2020.

Telekomunikasi dan Multimedia – 1 bilion

  • Pakej khas yang akan ditawarkan ialah internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan tamat.
  • Tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan.

Penjawat Awam – RM500 one-off

  • Kerajaan akan memberikan bantuan tunai sebanyak RM500 secara one-off kepada lebih 1.5 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk mereka yang bekerja secara kontrak.
  • Bayaran akan dibuat pada bulan April 2020.

Pesara Kerajaan – RM500 one-off

  • Kerajaan akan memberikan bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada lebih 850,000 pesara Kerajaan.
  • Bayaran akan dibuat pada bulan April 2020.

Dana Jaminan Makanan – RM1 bilion

  • Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion kepada Dana Jaminan Makanan untuk memastikan bekalan makanan kekal terjamin dan mencukupi.
  • Kerajaan juga akan terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada petani, penternak dan nelayan termasuk dalam bentuk bantuan input pertanian, ternakan dan perikanan untuk menggalakkan pengeluaran domestik.

Infrastruktur Tempat Penyimpanan dan Pengagihan Makanan Serta Program Integrasi Tanaman

  • Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menyediakan kemudahan infrastruktur tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman.
  • Kerajaan akan menyediakan dana khas antara RM100,000 hingga RM200,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan dan Pertubuhan Nelayan Kawasan yang berdaya maju untuk membangunkan projek agromakanan jangka pendek yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh 3 hingga 6 bulan.
  • Ini untuk memastikan bekalan makanan terjamin.
  • Langkah ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM64.4 juta.

Program Subsidi Upah

  • Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja.
  • Menerusi program ini Kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.
  • Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari 2020.
  • Majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan.
  • Selain itu, majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada perkerja.
  • Langkah ini dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang pekerja dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion.

Pemandu e-hailing – RM60 juta

  • Kerajaan akan memberikan bantuan secara one-off sebanyak RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.
  • Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pemandu teksi akan menerima bayaran one-off sebanyak RM600 mulai 1 April 2020.

Pekerja Kontrak Perkhidmatan – RM110 juta

  • Untuk pekerja yang terlibat dengan kontrak perkhidmatan seperti perkhidmatan pembersihan dan bekalan makanan bermasak di sekolah, IPTA, institusi latihan awam serta agensi-agensi lain Kerajaan termasuk badan berkanun.
  • Kerajaan bersetuju untuk membayar gaji yang ditanggung oleh kontraktor yang terlibat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan walaupun pekerja tidak hadir bekerja.
  • Lebih 80,000 pekerja akan menerima manfaat daripada inisiatif ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM110 juta.
  • Kerajaan juga akan memanjangkan tempoh kontrak perkhidmatan yang berkenaan selama sebulan sebagai trade-off dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Perusahaan Kecil dan Sederhana, dan Usahawan Mikro – RM4.5 bilion

Bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana, termasuk usahawan mikro, Kerajaan dan Bank Negara Malaysia akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion yang merangkumi lima inisiatif utama.

  • Pertama: Menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas atau Special Relief Facility untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion. Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.
  • Kedua: Meningkatkan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.
  • Ketiga: Menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah. Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2% sahaja tanpa cagaran. Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi. Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan. Inisiatif ini adalah terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.
  • Keempat: PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada 4 tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.
  • Kelima: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70% kepada 80% bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

Pemilik-pemilik Syarikat

  • Pertama: KWSP akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April 2020. Perkhidmatan ini merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan. Langkah ini dijangka memberikan penjimatan aliran tunai kepada majikan yang dianggarkan berjumlah RM10 bilion. Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 480,000 PKS dan syarikat yang terjejas, di samping menyelamatkan lebih 8 juta pekerjaan.
  • Kedua: Mengecualikan pembayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi semua sektor untuk tempoh enam bulan mulai bulan April 2020. Langkah ini dijangka membantu aliran tunai syarikat dengan penjimatan keseluruhan bernilai RM440 juta;
  • Ketiga: Untuk kira-kira 750 ribu PKS, Kerajaan membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua PKS untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April 2020. Ini adalah tambahan kepada langkah yang diumumkan terdahulu di mana Kerajaan telah memberi penangguhan bayaran ansuran cukai kepada perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan selama enam bulan bermula 1 April 2020. Bagi sektor lain yang turut terkesan, mereka dibenarkan untuk meminda jumlah cukai pendapatan yang dikenakan pada bulan ketiga, keenam dan kesembilan ansuran dalam tempoh asas perniagaan.

Penangguhan Atau Moratorium Bayaran Pinjaman

  • Institusi perbankan menawarkan penangguhan atau moratorium bayaran pinjaman selama 6 bulan, penukaran baki kad kredit kepada pinjaman berjangka dan penstrukturan semula pinjaman korporat.
  • Langkah ini adalah penting untuk membolehkan syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing.
  • Inisiatif ini melibatkan jumlah keseluruhan sekurang-kurangnya RM100 bilion.
  • Langkah moratorium akan dipanjangkan dan dilaksanakan bagi pinjaman dengan TEKUN, MARA dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS mulai 1 April 2020.

Contoh Senario Bantuan Kerajaan

Daripada semua bantuan kerajaan ini, Perdana Menteri telah memberi satu contoh mudah untuk memahami bantuan yang diberikan. Contohnya, Makcik Kiah penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab. Anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isirumah Makcik Kiah di bawah RM4000 sebulan. Di bawah adalah pengiraan berapa jumlah bantuan keluarga Makcik Kiah akan dapat.

Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500 dan bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500. Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM 200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3400.

Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama 6 bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama 6 bulan sebanyak RM1800, penjimatan bayaran bil elektrik selama 6 bulan sebanyak RM120.

Anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama 6 bulan sebanyak RM1200.

Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600.

Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.

Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864. Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat.

Sumber: PMO